
Pada hujung minggu yang lepas, saya berpeluang untuk melawat salah satu rumah panjang di daerah Engkilili bagi melawat Apai Andrew yang tinggal di salah satu bilik di Rh. Baying, Kumpang Langgir.
Rombongan telah bertolak dari bandar Sri Aman seawal jam 8 pagi dengan menempuh jalan premix yang agak cerun dan sempit. Kalau memandu guna Perodua Kancil 660cc memang stuck di kaki bukit. Kami telah tiba ke destinasi pada jam 9:30 pagi.
Ketibaan kami disambut baik oleh Akik Andrew dan isterinya yang telah lama menanti.


Kami duduk berehat di ruai bertanya khabar dan juga memberi sedikit hadiah kepada akik.
Rumah panjang sebanyak 21 pintu merupakan rumah panjang moden baru dibina menggunakan struktur konkrit. Proses mengecat dan menambah tile dinding tengah giat dilakukan.

Tidak lama kemudian, kami ikut dibelakang akik ke kebun beliau. Perjalanan menempuh hutan tidaklah terlalu mencabar.






Terdapat banyak buah-buah yang jatuh terbiar buruk tidak di makan lantaran terlalu banyak. Haiwan-haiwan seperti monyet sekalipun tidak lalu nak makan.





Selain terdapat pohon durian, akik juga menanam pohon cempedak, manggis, rambutan, ciku, dan juga tanaman lada yang menjadi sumber pendapatan utama akik.


Disamping itu, terdapat hidden gem yang ada di kebun akik adalah terdapat jajaran air terjun yang agak menarik kepada sesiapa yang melihatnya.

Sambil menjamu selera dengan bekal makan tengahari, kami mengambil peluang untuk mandi-manda menghilangkan penat mengutip buah durian yang begitu banyak.


Setelah puas mandi dan telah kenyang makan bekal tengahari, kami pun bergegas pulang ke rumah sambil membawa buah-buahan yang dikutip.




Hasil buah-buahan yang dikutip dibahagi sama rata di antara kami. Kami pulang ke Sri Aman dengan hati yang puas, bukan kerana buah durian yang dibawa pulang tetapi pengalaman bersama akik di kebun yang tidak dapat dilupakan.
Sekian. Wasallam.
12hb Januari, 2019
